Sunday, September 23, 2007

Perangi penjenayah seksual kanak-kanak

SAYA begitu terpanggil untuk meluahkan rasa terkejut, marah dan sedih apabila terbaca mengenai pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan yang mayatnya dijumpai dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, baru-baru ini.
Sebagai seorang wanita yang juga mempunyai anak saudara perempuan yang seusia dengan mangsa, saya dapat membayangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggung mangsa akibat perbuatan manusia yang tidak berperikemanusiaan.

Menurut laporan media, identiti penjenayah masih belum dapat dikenal pasti. Tetapi apa yang sangat dikesalkan ialah ketika umat Islam sibuk menyambut kedatangan Ramadan, masih ada juga manusia yang berhati binatang yang tidak mampu menahan nafsu serakah menggila sehingga sanggup menjadikan kanak-kanak yang tidak berdosa sebagai mangsa.
Di manakah letaknya nilai kemanusiaan dalam diri kita sebagai insan sehingga sanggup memperlakukan perbuatan keji terhadap anak kecil yang tidak mampu untuk melawan?
Perbuatan kejam yang dilakukan oleh penjenayah terbabit memang sukar dimaafkan apatah lagi sehingga tergamak melakukan serangan seksual dengan menggunakan objek keras sehingga menyebabkan kecederaan dalaman yang teruk dan akhirnya mangsa meninggal dunia.
Bagaimanakah jika anak-anak atau saudara-mara kita diperlakukan sedemikian rupa? Tidak terbitkah rasa belas kasihan di hati pelaku jenayah seksual ini tatkala melihat kesakitan yang ditanggung oleh mangsa?

Jenayah seperti ini dilihat seperti bermusim di mana negara pernah digemparkan dengan kes-kes rogol dan bunuh kanak-kanak sekitar tahun 2004 dan ia berulang kali berlaku tanpa ada kesudahan.
Kemarahan yang meluap-luap serta rasa keinsafan cuma datang sekejap sahaja. Apabila kes-kes seperti ini semakin dilupakan, maka minda masyarakat turut alpa maka timbullah semula jenayah kejam ini.

Pada hemat saya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan peristiwa menyayat hati ini tidak berulang lagi.

Pertamanya, pihak berkuasa hendaklah serius dalam usaha memburu penjenayah terbabit sehingga tertangkap. Setiap kali ada laporan kehilangan kanak-kanak, pihak polis hendaklah agresif dari minit pertama lagi dengan menggembleng semua sumber, mengadakan sekatan jalan raya, mengerahkan unit risikan dan penggunaan hipnosis (kaedah perantaraan jarak jauh).
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang di negara ini perlu keras dalam memastikan hukuman yang setimpal dijatuhkan terhadap perogol kejam ini agar ia menjadi iktibar kepada semua.

Keduanya, ibu bapa perlu mengawasi dan mengambil berat tentang anak-anak. Berilah sepenuh perhatian kepada anak- anak kita terutamanya kanak-kanak dan remaja perempuan. Jangan biarkan anak- anak kita keluar bersendirian biarpun untuk tujuan ke pasar malam atau kedai.
Ketiga, kita sebagai masyarakat Malaysia perlulah bersikap lebih prihatin dalam memastikan kejadian ini tidak berulang.

Sikap ambil tahu perlu ada walaupun kita hidup di bandar dan sibuk dengan rutin harian masing-masing.

Selain itu, janganlah pula kita lupa menerapkan didikan agama pada anak-anak dan keluarga kerana ia dapat menjadi benteng pertahanan untuk kita semua daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan agama, bangsa dan negara.

Kepada pihak polis, saya dan ramai lagi rakyat Malaysia amat berharap agar penjenayah berkenaan diberkas dan dikenakan hukuman paling berat.
Ia mesti menjadi azam seluruh rakyat supaya penjenayah itu tidak dapat lena
dan tenang biar sesaat sekalipun.

No comments: